:
Sejarah%20Penubuhan

 

Sejarah Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang

       Idea penubuhan Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang adalah bermula daripada cadangan Sahibul Fadhilah Sheikh Mohd Zainol Asri bin Mohd Ramli, Mudir Darul Hadis di bawah Yayasan Paksi hasil daripada perbincangan secara tidak rasmi pada pertengahan tahun 2012 bersama Pengerusi Surau Al-A’laa, Taman Desa Sena pada waktu tersebut iaitu Al-Fadhil Ustaz Mohd Asril Hafiz bin Che Hashim bersama ahli jawatankuasa surau yang menjadi tempat kuliah dhuha mingguan Yayasan Paksi di situ.

       Cetusan idea tersebut telah membawa kepada satu mesyuarat penubuhan bersama ahli jawatankuasa Maahad Darul Hadis (Alor Setar, Kedah) bersama pihak Surau Al-A’laa. Perbincangan demi perbincangan terus berlaku antara dua pihak dan akhirnya bersetuju untuk melantik Al-Fadhil Ustaz Mohamad Hanif bin Haron untuk menggalas amanah sebagai Mudir kepada Maahad Darul Hadis Cawangan Pulau Pinang (nama pada masa itu). Beliau pada ketika itu baru sahaja pulang dari menamatkan pengajian beliau dalam bidang Usuluddin pengkhususan bidang Hadis di Universiti Al-Azhar, Mesir. Keputusan ahli mesyuarat untuk memilih beliau adalah kerana latar belakang pendidikan beliau dalam bidang Hadis dan tujuan asal penubuhan Darul Hadis juga adalah untuk melahirkan “Muhaddisin” (pakar hadis). Dalam usaha untuk menubuhkan maahad ini, pihak ahli jawatankuasa induk bersama Mudir Darul Hadis Pulau Pinang telah mengadakan banyak siri lawatan semata-mata untuk melihat dan mengambil sejumlah maklumat agar institusi yang bakal ditubuhkan benar-benar menepati kehendak dan objektif sebagaimana yang diputuskan bersama.

      Hasil daripada lawatan kerja dan pandangan yang diambil oleh semua pihak, pada 20 Disember 2012 secara rasminya tertubuhlah Maahad Darul Hadis Cawangan Pulau Pinang. Majlis perasmian tersebut diadakan di Masjid Abdullah Fahim, Seberang Perai Utara, sempena Majlis Lantunan Mahabbah Rasulillah 2 yang dianjurkan oleh pihak masjid. Turut hadir bersama dan yang memberikan tausiah pada malam tersebut ialah Sheikh Al-Muhaddis Dr Usamah Sa’edaan (seorang ulamak dari Syria) dan Sheikh Mohd Zainal Asri bin Ramli. Majlis pada malam tersebut dihadiri oleh ribuan masyarakat setempat dan dari situlah bermulanya perjalanan secara rasmi Darul Hadis Pulau Pinang.

        Operasi Darul Hadis Pulau Pinang bermula dengan pengajian umum setiap hari Sabtu yang disampaikan sendiri oleh Mudir Al-Fadhil Ustaz Mohamad Hanif bin Haron di Surau Al-A’laa. Antara kitab yang diajarkan sehingga khatam pada waktu itu ialah Kitab Hadis 40 Imam An-Nawawi dan Kitab As-Syamail Al-Muhammadiyyah oleh Imam At-Tirmizi. Siri-siri pengajian ini telah membentuk sokongan yang padu oleh masyarakat setempat dan juga pengunjung dari luar kawasan Taman Desa Sena yang memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk untuk menjayakan dan memantapkan perjalanan maahad ini. Setelah berjalan dengan lancar kuliah mingguan dan kehadiran para hadirin juga semakin ramai, timbul cadangan untuk mengadakan kelas pra tahfiz hujung minggu pada waktu kuliah dhuha berlangsung. Untuk tujuan itu sebuah rumah telah disewa yang terletak berhadapan dengan Surau Al-A’laa. Kelas ini dibuka pada 7 September 2013 dengan pelajar pada waktu itu seramai 18 orang.

       Setelah mempunyai kekuatan dari sudut bantuan sumbangan orang ramai dan keizinan dari pihak Surau Al-A’laa untuk menjadikan premis surau sebagai bangunan utama untuk tujuan kelas hafalan al-Quran kepada para pelajar, maka pihak pengurusan Darul Hadis Pulau Pinang telah memutuskan untuk mengambil pelajar generasi pertama sepenuh masa seramai 15 orang pada 11 Januari 2014. Pada waktu ini fokus utama adalah para pelajar menghafal al-Quran dan mempelajari ilmu fardhu ain sahaja sebagai permulaan sebelum ke peringkat yang seterusnya. Pada ketika ini sudah bermula perancangan untuk memiliki aset sendiri. Usaha ini terus giat dilakukan melalui kuliah-kuliah umum Al-Fadhil Ustaz Mohamad Hanif bin Haron di sekitar Pulau Pinang, juga dibantu oleh seluruh ahli jawatankuasa Darul Hadis Pulau Pinang yang bertungkus-lumus berusaha ke arah untuk memiliki tanah sendiri. Organisasi Darul Hadis Pulau Pinang dikuatkan lagi dengan perlantikan rasmi Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hassan bin Haji Ahmad, mantan Mufti Negeri Pulau Pinang sebagai Penasihat Kehormat pada 24 Julai 2015.

       Usaha pencarian tanah ini terus digiatkan sehinggalah menemui sebidang tanah di Pokok Machang, Tasek Gelugor. Pada ketika ini juga meletusnya isu fitnah terhadap Darul Hadis Pulau Pinang yang dituduh sebagai pusat penyebaran Hadis palsu. Namun tohmahan yang dilemparkan itu akhirnya menjadi promosi kepada masyarakat yang tidak mempercayai tuduhan tersebut sehinggakan Darul Hadis Pulau Pinang menerima sumbangan besar daripada masyarakat hingga akhirnya dapat membeli tanah tersebut dengan kos keseluruhan RM2,008,660.40 dalam tempoh tiga bulan sahaja.

        Setelah selesai pembelian tanah melalui sumbangan wakaf orang ramai ini maka pembangunan pertama telah dirancang untuk mengimarahkan tanah ini bermula dengan majlis pecah tanah yang telah disempurnakan oleh Tuan Guru Haji Salleh bin Musa dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hassan bin Haji Ahmad. Turut hadir dalam majlis tersebut Sohibussamahah Dato’ Seri Dr Wan Salim bin Wan Mohd Noor (Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang), Sheikh Mohd Zainal Asri bin Mohd Ramli, Ustaz Yusof bin Awang, Ustaz Abdul Mutalib bin Maaruf dan juga asatizah yang lain turut hadir memberikan sokongan moral pada perasmian pecah tanah ini. Sejurus selepas dari majlis perasmian tersebut bermulalah proses tambunan tanah dan pembinaan pembangunan mula giat dilakukan.

       Dalam tahun yang sama pihak pengurusan telah memutuskan untuk menjadi pentadbiran sendiri dengan berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang pada 3 Mac 2016 dengan nama rasmi yang baharu ialah “Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang” (no. pendaftaran JAIPP/PEND/04.TF.002). Pembangunan fasa pertama yang merangkumi dewan pengajian terbuka dan pejabat giat dijalankan dan secara rasminya pada 28 Mei 2016 segala pentadbiran dan pengajian berpindah sepenuhnya ke tapak tetap di Pokok Machang, Tasek Gelugor setelah siap pembangunan fasa pertama tersebut.

        Pada 2 Januari 2018, pengurusan Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang telah menubuhkan satu lagi institusi untuk memperkukuhkan lagi sistem pembelajaran disini dengan menubuhkan “Pondok Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang” yang juga berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (no. pendaftaran JAIPP/PEND/04.P.003). Setelah itu, bagi memperkasakan lagi gerak kerja untuk melahirkan golongan yang pakar dalam bidang hadis dan kesinambungannya, maka tertubuhlah Yayasan Darul Hadis Al Filfilaniyyah pada 22 Mac 2018 yang berdaftar secara rasmi di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (no. pendaftaran PPAB-15/2018). Penubuhan yayasan ini bertujuan untuk memasyarakatkan dan mengukuhkan institusi ini di samping menjayakan visi dan misi yang telah ditetapkan. Sehingga kini Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang terus mencipta nama dan membina generasi selaras dengan temanya “Melahirkan Ulamak Pewaris Nabi”.