21 APRIL 2026: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memperkenal satu sistem penilaian dan penarafan rasmi institusi-institusi pendidikan tahfiz di Malaysia yang diberi nama Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM). SPTM dilaksanakan bertujuan untuk memperkasa serta menyeragamkan kualiti institusi pendidikan tahfiz di seluruh negara agar setanding dengan sistem pendidikan arus perdana. Rentetan daripada itu maka pada hari ini Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang (PPDHPP) telah dipilih untuk diaudit oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi peringkat negeri Pulau Pinang. Sebanyak 10 institusi tahfiz di negeri ini telah dipilih untuk menjalani audit SPTM ini. Dalam proses audit ini, beberapa aspek penting telah dinilai secara menyeluruh termasuk audit kewangan, ketelusan pengurusan, serta silibus pembelajaran yang dilaksanakan. Penilaian kewangan memberi fokus kepada pengurusan yang amanah, telus dan berintegriti, manakala semakan silibus memastikan sistem hafazan, sukatan pelajaran serta kaedah pengajaran sentiasa tersusun, relevan dan berkesan dalam melahirkan huffaz yang berkualiti.Selain itu, aspek disiplin pelajar, kebajikan, suasana pembelajaran serta pembangunan sahsiah turut diberi perhatian agar pembentukan pelajar yang seimbang dari sudut ilmu, hafazan dan akhlak dapat direalisasikan. Proses audit ini bukan sekadar penilaian semata-mata, bahkan menjadi ruang untuk penambahbaikan berterusan demi memperkukuh lagi sistem pentadbiran dan pendidikan Darul Hadis agar sentiasa selari dengan kehendak standard kebangsaan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak auditor atas kesudian hadir membuat penilaian serta berkongsi pandangan yang membina. Semoga PPDHPP berjaya menepati segala piawaian SPTM yang telah digariskan oleh pihak JAKIM, seterusnya terus melahirkan generasi huffaz yang cemerlang, berilmu dan berakhlak mulia di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Audit SPTM Negeri Pulau Pinang
Video Rangkuman